Self Motivation

Motivasi Bisnes

Onak dan duri yang pertama yang mendasari serta merintangi bagi mereka yang ingin memulakan bisnes sendiri adalah kekangan daripada pihak keluarga sendiri. Realitinya, majoriti mentaliti masyarakat kita masih beranggapan anak-anak mereka 'sudah mendapat' kerja apabila mereka 'makan gaji'.

Bagi mereka yang bercita-cita menjadi seorang usahawan itu bukanlah merupakan pekerjaan yang diiktiraf. Apatah lagi pekerjaan yang tidak mempunyai EPF, SOCSO dan lain-lain. Kebiasaannya mereka akan menjadi malu serta terbitlah gejala 'inferiority complex' apabila anak mereka tidak makan gaji disebabkan bagi mereka, orang yang tidak makan gaji serupa dengan dengan orang yang belum mendapat pekerjaan.

Itu belum pula bagi mereka yang ingin mencari calon menantu. Keutamaan tanpa ragu diserahkan kepada mereka yang berkerja dengan kerajaan. Kalau tidak berkerja gomen (government) sekalipun, kerja swasta masih boleh dipertimbangkan. Kalau bermenantukan orang bisnes atau usahawan ni takut-takut kalau bisnes merundum nanti, anak cucu bakal makan dedaun.

Makcik : Maaf ya nak, makcik nak tanya sikit, anak ni kerja apa? Gomen ke kerja sendiri?
Budak : Kerja sendiri je makcik..
Makcik : Wah! Bagus tu? Syarikat anak ni masuk dalam senarai bursa saham ke?
Budak : Belum lagi, makcik. Bisnes kecil-kecil je. Baru nak cuba berniaga sikit.
Makcik : Ooo baru? Macam ni lah nak,  makcik tak boleh buat keputusan lagi, nanti makcik bincang dengan anak makcik dan bapanya. Kalau tak ada masalah nanti Insyaallah kami bagitau. Kalau tak ada apa-apa surat menyurat mahupun email, anggaplah permohonan anak tak berjaya. Jangan risau, "bunga bukan sekuntum, kumbang bukan seekor"
Budak : Err..ok...Kalau begitu, saya mintak izin pulang dahulu..
Makcik : Baiklah. Terima kasihlah nak sudi datang ni. Kalau company anak dah masuk bursa saham, bagitaulah makcik ya. Boleh kita bincang-bincang lagi..
Budak : Err..Insyaallah makcik. Terima kasih. Assalamualaikum.
Makcik : Waalaikumussalam.

Maka pulanglah sang budak itu dengan pesimisnya. Harapannya telah hancur berkecai 'bak kaca terhempas ke lantai'. Kasihan dia....

Itulah realiti masyarakat sekarang. Jiwa kita, mentaliti kita, masih jauh berbeza dengan bangsa lain yang menjadikan kerjaya bisnes dan usahawan itu bidang yang merupakan pilihan utama. Jika mereka tidak mampu berbisnes atau atas dasar minat barulah mencari pekerjaan di bidang swasta dan pilihan terakhir berkerja dengan kerajaan.

Mungkin inilah sumbangan 'dasar pecah dan perintah' celupan British suatu ketika dahulu. Jadi, tidak hairanlah bangsa kita masih jauh ketinggalan dalam bidang perniagaan.

Kita sering mengeluh bila ditipu, diinjak, tetapi itulah yang harga serta maruah diri yang perlu dibayar bila ekonomi kita dipegang oleh orang lain. Tetapi tak usahlah menyalahkan bangsa lain, kerana 'siapa yang berusaha dia yang akan mendapat hasilnya.' Walaupun bangsa kita masih disuap dengan pelbagai bantuan, subsidi, pinjaman dan sebagainya tapi kita masih tidak mampu menggunakan peluang itu dengan sebaik-baiknya.

Kita masih tidak mampu meniru keperibadian Rasulullah S.A.W yang merupakan seorang businessman, atas akhlaK dan kejujuran baginda maka baginda dikenali oleh masyarakat disekelilingnya dan isterinya sendiri, Khadijah Bt Khuwailid sehingga baginda dikenali sebagai "al-Amin" yang bermaksud seorang yang jujur dan ini memberikan satu kelebihan kepada dakwah baginda.

Malah Hasan Al-Banna, pendiri Ikhwan Al-Muslimin sendiri memberi galakan untuk berniaga hatta sekecil mana sekalipun. Kerana terkadang ada 'harga' yang perlu dibayar dan ada prinsip yang perlu digadaikan apabila kita menjadi orang bawahan. Dengan berbisnes kita mampu menguruskan masa sendiri, meluangkan masa untuk kerja-kerja dakwah dan kebajikan dan mempunyai lebihan masa bersama keluarga.

Firman Allah S.W.T:
Katakanlah: "Jika bapa-bapa, anak-anak, saudara-saudara, isteri-isteri, kaum keluargamu, harta kekayaan yang kamu usahakan, perniagaan yang kamu khuatiri kerugiannya, dan rumah-rumah tempat tinggal yang kamu sukai, adalah lebih kamu cintai daripada Allah dan RasulNya dan (dari) berjihad di jalanNya, maka tunggulah sampai Allah mendatangkan keputusanNya." Dan Allah tidak memberi petunjuk kepada orang-orang fasik" ( 9:24)

Kebiasaan halangan mereka yang ingin memulakan bisnes ini adalah risiko kerugian. Keuntungan dan kerugian itu merupakan lumrah dalam dunia bisnes. Kerugian yang dialami itu perlulah dianalisa agar ia tidak berulang lagi. 

'Kalau takut akan risiko usah bicara tentang perjuangan'. 

'Jika risau badai tsunami akan melanda jangan berpondok di tepi pantai'.

Sebetulnya, seorang manusia yang lahir di dunia ini sebenarnya sudah berhadapan dengan risiko. Malah seorang ibu yang melahirkan kita di dunia ini juga berhadapan dengan risiko kesakitan, kematian dan sebagainya demi untuk kehidupan seorang anak. Kemudian mereka membesarkan kita, mendidik kita, menghantar kita ke sekolah, menikahkan kita dengan berhadapan dengan pelbagai risiko. Kalau sedari mula lagi ibu bapa kita tidak mahu mengambil sebarang risiko, kemungkinan atas alasan itulah kita tidak mungkin berada di dunia ini.

Atas dasar itulah, saya menyeru kepada sahabat-sahabat sekalian, jangan pernah malu dan berasa hina dengan berniaga hatta untungnya cuma RM0.50 cuma atau berniaga di pasar malam mahupun goreng pisang di jalanan. Berbanggalah, kerana dengan berniaga itulah kita mampu berdikari sendiri tanpa perlu mengikut telunjuk sesiapa.

Hasil yang diperolehi atas keringat sendiri itu pastinya suatu kebanggaan dan kepuasan yang tidak mampu digambarkan oleh mata fikiran. Bak kata seorang sahabat, "berniaga ini seharusnya mendekatkan pergantungan kita dengan Allah kerana gaji kita tidak diberikan oleh sesiapa tetapi kita bertawakkal kepada Allah untuk beroleh rezeki atas perniagaan yang kita usahakan.

Tapi...makan gaji senang..Tiap-tiap bulan cucuk sahaja kad ATM...siapa kata senang? Makan gaji merupakan suatu amanah dari majikan...seharusnya kita memberi 'all out' atas kerja yang diberikan kepada kita...inilah yang susah sikit...fenomena meng'ular', buat kerja yang tak berfaedah, masuk lewat, balik awal...ni semua seakan-akan suatu lumrah bagi pekerja makan gaji.

Gaji itu merupakan rezeki. Jadi, berwaspadalah selalu untuk mendapat rezeki yang berkat. Bagi pekerja yang produktif, teruskan sumbangan anda untuk memajukan agama, bangsa dan negara. 

Mentaliti kita juga perlu diubah terutamanya graduan, 'bukan hanya mencari kerja tetapi menyediakan kerja'. 

Selamat berniaga.

"Treat dakwah as business minded."

Semoga diberi kegigihan dan istiqamah seperti Rasulullah S.W.T. Amiin..

Firman Allah S.W.T:
"Hai orang-orang yang beriman, sukakah kamu Aku tunjukkan suatu perniagaan yang dapat menyelamatkan kamu dari azab yang pedih? "(iaitu) kamu beriman kepada Allah dan RasulNya dan berjihad di jalan Allah dengan harta dan jiwamu. Itulah yang lebih baik bagi kamu jika kamu mengetahuinya,niscaya Allah akan mengampuni dosa-dosamu dan memasukkan kamu ke dalam syurga yang mengalir di bawahnya sungai-sungai, dan (memasukkan kamu) ke tempat tinggal yang baik di dalam syurga Adn. Itulah keberuntungan yang besar."(61:10-12)

 

 

Tuntut Kejayaan Anda!

Jika kita mahu menjadi usahawan yang berjaya, boleh dikatakan 100% pilihan adalah di tangan kita.
Pilihan untuk membuat keputusan.
Pilihan untuk bekerja kuat ataupun malas.
Pilihan untuk merasa lemah ataupun terus cekal.
Pilihan untuk bertindak ataupun terus berduka lara…
Tuhan itu tidak zalim. DIA berikan kita peluang untuk membuat pilihan.
Tangga Kejayaan
Tangga perlu dinaiki setapak demi setapak. Jika hanya melihat dari bawah, kejayaan pasti tidak dapat diraih.

Nah, jika itu hakikatnya, mari kita memilih yang baik-baik untuk kita. Berhasil atau tidak, itu bukan urusan kita.
Salah satu langkah untuk menjadi usahawan berjaya adalah dengan “menuntutnya”. Kata orang putih, “claim your success!” Tuntut Kejayaan Anda!
Kebiasaan yang kita lihat, manusia lantang menuntut hak-hak mereka seperti hak bersuara, hak sebagai pekerja, hak hidup harmoni, hak untuk memilih kerajaan dan sejuta satu hak.
Namun ironinya, ada yang tidak bersungguh-sungguh menuntut hak kejayaan bagi diri mereka sendiri walaupun ia amat penting bagi mereka.
Baik, soalnya sekarang, bagaimana untuk menuntut hak kejayaan itu dan juga mengapa?

Mengapa perlu menuntut kejayaan?
Hal ini tidak perlu dihuraikan lagi kerana setiap orang ada alasan dan sebab tersendiri mengapa mereka mahu menjadi orang yang berjaya, berharta, kaya dan seumpamanya.
Ada yang mahu melihat ahli keluarga mereka hidup bahagia dan tidak susah, ada yang tidak mahu hidup tertindas, ada yang mahu membantu orang-orang susah dan ada yang mahu membantu Agama terus terbela dan berkembang.
Itu semua adalah tujuan dan matlamat masing-masing. Kita telah jelas mengenai hal itu…

Jadi, bagaimana cara untuk kita menuntut hak-hak kejayaan kita dan kepada siapa kita perlu menuntutnya?
Jawapannya mudah: Kita perlu tuntut kepada diri kita sendiri. 99.9% faktor kejayaan adalah terletak kepada diri kita sendiri. Sikap, tabiat (habits) dan emosi kita, akan menentukan segalanya.
Jadi, untuk menuntut kejayaan, maka kita perlu:
  • Bekerja lebih kuat secara bijak.
  • Bercakap sebagai seorang pakar dalam bidang itu. Contoh: Anda seorang pakar pemasar internet, maka tidak boleh menjadi seorang yang lemah. Terus menerus bercakap mengenai bidang anda dan lakukan usaha-usaha berkaitan dengan bersungguh-sungguh.
  • Tunjukkan bukti keberhasilan kerja anda. Jika anda pakar SEO, buktikan bahawa website anda sendiri mempunyai ‘ranking’ terbaik di enjin carian.
  • Belajar dan terus belajar berkaitan bidang yang diceburi agar lebih berpengetahuan.
  • Terus menerus membangunkan diri dengan belajar dan melatih diri.
  • ‘Walk the talk’. Apa sahaja yang diperkatakan perlulah disusuli dengan tindakan. Kata orang, “Cakap serupa bikin”.
  • Percaya sepenuhnya. Tiada apa yang mustahil di dunia ini, terutama yang telah pernah diraih oleh manusia, selagi ia di dalam lingkungan kemampuan manusia. Jika boleh percaya ada hantu (walaupun tidak ada), mengapa tidak boleh percaya yang kita akan berjaya? ;)
  • Bertanggungjawab kepada diri sendiri. Jika kita malas dan lemah, kita perlu salahkan diri sendiri. Perlu sentiasa menilai (muhasabah) diri agar kekurangan dapat diperbaiki.
  • Bersama-sama dengan individu/kumpulan yang sama fikiran dengan kita.
  • Fokus sepenuhnya terhadap usaha yang dilakukan.
  • JELAS dengan matlamat dan tujuan berniaga. Anda berniaga sebab apa? Setiap kali rasa lemah, baca kembali matlamat murni anda itu dan kembalilah segera berusaha semula.
Kepada usahawan yang telah atau sedang kecundang, jatuh dan rebah dalam perniagaan, bangkitlah segera. 

Tuntut kembali kejayaan anda!

Setiap kali kita jatuh atau ‘dijatuhkan’ oleh orang lain, bisikkan kepada diri sendiri, “Aku berhak untuk berjaya“.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...